Kenali Roselle
SATU POKOK SEJUTA KHASIAT
Roselle adalah spesis Bunga Raya yang dipanggil Hibiscus Sabdarifa L. Di Malaysia, Roselle dikenali sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur oleh penduduk tempatan. Jamaican Sorrel merupakan panggilan roselle di India Barat. Tumbuhan roselle dikatakan berasal daripada India tetapi ada juga yang mengatakan berasal daripada Afrika Barat. Tumbuhan ini diperkenalkan di Malaysia sejak 1990an. Kini terdapat lebih dari 300 spesis tanaman roselle di seluruh dunia.
BAGAIMANA PENANAMAN ROSELLE DILAKUKAN?
Biji benih merupakan tunjang utama dalam penanaman roselle. Biji benih disemai di dalam bekas yang bersesuaian ataupun ‘seed tray’ selama 10 hari. Anak benih boleh dipindahkan di atas batas bertanah bris atau mineral. Penanaman roselle di tanah bris memerlukan penggunaan baja organik seperti tahi ayam baja sebatian organik NPK 15:15:15 dan NPK 12:12:17:2. Pengairan adalah sangat penting dalam penanaman roselle kerana ia adalah jenis tanaman yang responsif terhadap air. Selain daripada biji benih, pokok roselle juga boleh ditanam melalui keratan batang.
BAGAIMANA PEMBESARAN POKOK ROSELLE?
Roselle merupakan tanaman semusim dengan pokok bersaiz renik dan boleh tumbuh pada ketinggian 205 sentimeter ( sm ). Jangka hayat pokok roselle adalah 6 hingga 10 bulan. Pokok mula berbunga pada usia 45 hingga 60 hari selepas ditanam dan sekuntum bunga akan keluar pada setiap ketiak daun. Buah roselle bewarna merah gelap dan akan matang pada usia 35 hari selepas bunga kembang. Setiap buah akan mengandungi lima kaliks dan bercantum bersama di bahagian bawah bunga.
BAGAIMANA PUNGUTAN ROSELLE DILAKUKAN?
Pungutan dilakukan secara manual dengan memotong buah menggunakan gunting. Buah roselle sedia untuk dipungut pada 20 hingga 30 hari selepas bunga kembang. Pungutan buah roselle patut dilakukan pada selang tujuh hingga 10 hari untuk tempoh 50 hingga 60 hari. Buah roselle perlu diproses dalam tempoh 2 hari di mana buah dibuang kapsul untuk mendapatkan kaliks.
APAKAH PENYAKIT YANG SERING MENYERANG POKOK ROSELLE?
Penyakit kulat yang sering menyerang pokok roselle adalah reput daun (Coniella musaiaensis var.Hibisci) dan reput batang (Phoina spp). Ia sering berlaku sewaktu musim hujan dan sistem saliran kurang sempurna. Cara kawalan disyorkan dengan menggunakan racun kimia seperti jenis Carbendazim pada 0.05%. Serangan perosak yang biasa menyerang roselle adalah bena, kumbang dan kutu (Podogrica gemelli, Phylloreta spp). Pengawalan boleh dilakukan dengan menggunakan Deltamethrin, Fenvalerateatau atau Carbaryl.
APAKAH KHASIAT DAN KEGUNAAN ROSELLE?
Kaliks atau kelopak buah roselle yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan C serta zat mineral. Ia mengandungi kandungan vitamin C( asid askorbik ) yang tinggi iaitu sebanyak 260-280 miligram(mg) bagi setiap 100gram(g) kaliks kering. Selain itu, setiap 100g kaliks segar mengandungi 2.85 ug vitamin D, 0.04 mg vitamin B1, 0.06 vitamin B2 dan 0.05 mg vitamin B2 kompleks. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Kaliksnya boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Pemprosesan biji roselle boleh dijadikan bahan kosmetik sementara kulitnya pula boleh dibuat tali.